Sisa Buang Fidlot
ii. Sistem Lagun Untuk Pengolahan Air Buangan
Salah satu kaedah bagi mengurangkan pencemaran air buangan ialah dengan menggunakan sistem lagun. Pengurangan bahan pencemar berlaku melalui dua proses, iaitu pengenapan pepejal dan penstabilan bahan organik. Beberapa jenis lagun terbentuk bergantung kepada jenis-jenis penjelmaan biologi.
a) Lagun Aerobik
Didalam lagun aerobik, bakteria dan alga bersama-sama menstabilkan bahan organik secara simbiosis. Oleh kerana cahaya matahari sangat mustahak dalam pengeluaran oksigen dan alga, kekeruhan air dan kedalaman lagun merupakan dua faktor penting dalam operasi lagun aerobik.
Oleh itu, kedalaman lagun aerobik biasanya tidak melebihi 1.5 m. Kedalaman air tempat alga tumbuh adalah terhad pada jarak 50cm dari permukaan air.
b) Lagun Yang Diudarakan
Apabila kandungan lagun diudarakan, pemindahan oksigen ke dalam air akan bertambah dan kedalaman lagun boleh ditambah sehingga 4m. Pengudaraan boleh dilakukan dengan mengepam air ke udara ataupun mengepam udara ke dalam air. Kebanyakan alat pengudaraan yang terapung mengepam air ke udara. Sebahagian besar daripada bahan pepejal mengenap ke bawah lagun tempat berlakunya penguraian anaerobik.
Pengudaraan boleh mengurangkan bau busuk yang biasanya di wujudkan dari lagun anaerobik. Walau bagaimanapun, kos alat pengudaraan serta kos penyelenggaraannya adalah tinggi.
c) Lagun Fakultatif
Lagun fakultatif mengandungi dua zon, iaitu zon aerobik di bahagian atas dan zon anaerobik di bahagian bawah. Di lapisan aerobik, alga yang berfotosintesis menghasilkan oksigen. Bakteria aerobik menggunakan oksigen untuk menstabilkan bahan organik. Lebih banyak lagi karbon akan dihapuskan di zon anaerobik melalui fermentasi dan penghasilan metana. Kedalaman lagun fakultatif adalah antara 1.2 hingga 2.5 m.
d) Lagun Anaerobik
Lagun anaerobik menerima air buangan yang banyak mengandungi bahan organik sehingga zon aerobik tidak terwujud. Penguraian bahan organik berlaku melalui pencernaan anaerobik di mana bakteria menurunkan asid meruap kepada karbon dioksida dan gas metana. Umumnya, lagun anaerobik digunakan untuk bahan organik dan bukan untuk membersihkan air. Lagun anaerobik boleh dikorek agak dalam tetapi sebaikbaiknya tidak menebusi aras air tanah.
iii. Pengeluaran Biogas
Pencernaan anaerobik yang dapat menghasilkan biogas juga boleh mengurangkan BOD air buangan. Biogas ialah satu bahan bakar yang boleh digunakan untuk memasak dan memasang lampu. Nilai kalori biogas lebih tinggi daripada kayu dan arang.
Biogas ialah gas yang dihasilkan oleh mikrob apabila bahan organik mengalami proses fermentasi dalam satu keadaan anaerobik yang sesuai daripada segi suhu, kandungan kelembapan dan keasidan.Komponen utama biogas ialah metana (CH4) (60 - 70%) dan karbon dioksida (C02). Selain daripada gas tersebut, biogas mengandungi sedikit hidrogen sulfida, nitrogen, hydrogen dan karbon monoksida.
Untuk menghasilkan biogas, loji atau alat penghadam diperlukan. Ianya merupakan satu tangki tempat proses fermentasi dijalankan. Penghadaman mestilah berlaku didalam keadaan tidak telap udara dan tidak telap air. Alat penghadam boleh dibahagikan kepada dua jenis mengikut cara bahan buangan tersebut dimasukkan kedalam penghadam, iaitu samada secara berperingkat (batch-fed) atau secara berterusan (continuous-fed).
Dalam penghadaman secara berperingkat, bahan mentah dimasukkan sekaligus sehingga penuh, kemudian alat penghadam ditutup untuk proses fermentasi dan pengeluaran gas. Lama kelamaan, pengeluaran biogas akan berkurangan dan akhirnya berhenti disebabkan kekurangan bahan mentah. Pada masa itu, penghadam dikosongkan dan kemudian dipenuhkan semula dengan bahan mentah yang baru.
Dalam penghadaman secara berterusan, alat penghadam pada mulanya dipenuhkan dengan bahan mentah, kemudian sejumlah bahan mentah yang tertentu dimasukkan setiap hari. Bahan harian akan mengeluarkan bahan yang telah dihadam bersamaan dengan isipadu yang dimasukkan.
Tangki gas juga diperlukan untuk menyimpan biogas. Tangki gas dibahagikan kepada dua jenis, iaitu tangki tetap (fixed dome gas holder) dan tangki terapung (floating gas holder).Dalam tangki tetap, alat penghadam juga digunakan sebagai penyimpan gas. Isipadu kebuk penyimpan tersebut (iaitu bahagian di atas aras bahan yang di fermentasikan) tetap dan tidak berubah mengikut isipadu gas yang ada.
Tangki terapung pula boleh dibahagikan kepada dua jenis. Jenis pertama ialah tangki yang diletakkan di atas bahan mentah yang sedang berfermentasi didalam alat penghadam. Jenis kedua ialah tangki yang diletakkan di atas air dalam satu tangki yang berasingan. Tiang-tiang penunjuk perlu digunakan supaya tangki terapung tidak senget.
iv. Kegunaan Keladi Bunting
Salah satu daripada cara mengurangkan potensi pencemaran air buangan ialah menggunakan tumbuhan seperti keladi bunting. Keladi bunting (Eichornia crassipes) didapati boleh mengurangkan BOD air buangan. Tumbuhan ini boleh digunakan bersama sistem lagun.
Di samping mengawal pencemaran, hasil biojisim (dianggarkan sebanyak 66 tan/ha tahun) boleh diperolehi. Keladi bunting boleh digunakan sebagai makanan ternakan, atau dikomposkan bersama-sama dengan najis ternakan.
v. Integrasi Dengan Pengeluaran Ikan
Pengeluaran Ikan yang menggunakan najis ternak (itik, ayam dan babi) telah lama dipraktikkan di Asia. Kajian menunjukkan bahawa najis ruminan juga boleh digunakan untuk pengeluaran ikan.
Satu sistem integrasi yang melibatkan kambing dan ikan berdasarkan 400 ekor kambing/ ha dapat menghasilkan ikan sebanyak 5.5 hingga 7 tan/ha tahun.
Sebahagian daripada najis ternakan yang dipelihara secara intensif boleh digunakan di dalam kolam ikan. Pengusaha yang berminat menggunakan sistem berkenaan boleh merujuk kepada pihak yang pakar seperti Jabatan Perikanan atau Technology Park Malaysia (TPM) yang juga ada menjalankan kajian secara saintifik dalam teknologi integrasi ternakan dengan pengeluaran ikan.
Kemaskini pada 2015-11-03 11:37:08 daripada Administrator