![]() | ![]() |
Majlis Perasmian dan Pelancaran Makmal Biokeselamatan Tahap 3 (BSCL3-Ag) 16 November 2013, Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh, Malaysia | Pintu Masuk Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh, Malaysia |
Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) merupakan sebuah institusi utama di Malaysia yang menjalankan kajian berkaitan penyakit-penyakit haiwan termasuk penyakit haiwan yang menjangkiti manusia (zoonotik). Selain daripada itu, VRI juga terlibat dalam mengendalikan kerja-kerja diagnosis penyakit, program survelan dan pemantauan penyakit-penyakit haiwan di seluruh negara.
Pada tahun 2009, lanjutan daripada wabak penyakit Selsema Burung atau dikenali sebagai 'Highly Pathogenic Avian Influenza' (HPAI) yang melanda negara, VRI telah menerima dana sebanyak RM 32 juta daripada Majlis Keselamatan Dalam Negara (MKN). Dana tersebut dikhaskan untuk pembinaan Makmal 'Biosafety Containment Level 3' (BSCL-3) bagi tujuan penyelidikan penyakit HPAI. Makmal BSCL-3 telah dibina mengikut spesifikasi bio-keselamatan tahap 3 di mana pada tahap ini, risiko penyebaran penyakit merbahaya kepada masyarakat setempat, kakitangan dan alam sekitar dapat dielakkan.
Selain daripada HPAI, VRI turut terlibat dalam mengendalikan penyakit Selsema Babi (H1N1), penyakit Nipah dan penyakit yang disyaki Anthrax. Penyakit-penyakit tersebut merupakan penyakit yang telah disenaraikan sebagai penyakit yang disebabkan oleh patogen Kelas 3 dan 4 oleh Cenre for Disease Control (CDC), Atlanta, USA. Penyakit kategori ini merupakan penyakit zoonotik berbahaya yang boleh mengancam nyawa manusia.
Selain daripada penyelidikan patogen Kelas 3 dan 4 tersebut, Makmal BSCL-3 juga boleh digunakan untuk tujuan kerja-kerja penyelidikan bagi ujian validasi vaksin, penghasilan vaksin rekombinan dan vaksin DNA yang menggunakan virus dan bakteria berbahaya dan penghasilan 'Genetic Modified Organism' (GMO). Ujian in vivo menggunakan haiwan hidup bagi menguji kadar jangkitan penyakit turut dijalankan di makmal ini. Selain itu, pengenalpastian organisma atau penyakit baru muncul (emerging disease) atau penyakit muncul semula (re-emerging disease) turut dijalankan di makmal BSCL-3 sebagai langkah berhati-hati bagi tujuan kawalan sebaran penyakit.
Pihak yang berminat untuk mendapatkan maklumat berkaitan Makmal Bio-Keselamatan boleh berhubung terus seperti butiran berikut:
ahmadfikri@dvs.gov.my
Kemaskini pada 2024-08-12 02:15:36 daripada Administrator